Kisah ini aku ambil dari sumber yang lain, aku kongsikan disini sebagai ilmu buat pembaca sekalian.
Inilah nasihat dari SHIEKH ABD KADIR AL-JAILANI
“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri
menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.
Tergamam.
Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.
“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan
sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak
murid itu kepada gurunya.
Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang
lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala
mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.
“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.
Setiap yang mendengar terkejut.
Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.
Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “mengapakah engkau berkata demikian?”
Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku
berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut
kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’
Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si
anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau
mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau
hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu,
engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak
begitu!”
Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.
Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak
kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh
berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.
“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira
setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan
sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa.
Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah
seorang Nabi yang maksum.
Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu,
jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada
perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku
nasihatkan kepadamu itu”
Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.
Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti
jambatan Taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.
No comments:
Post a Comment