Wednesday, January 1, 2014

2014 telah tiba..

Assalamualaikum..

2013 telah melabuhkan tirainya, kini 2014 telah muncul tiba! Aku perhatikan didalam facebook, ada yang menantikan 2014 dengan semangat berkobar-kobar, bersedia dengan pelbagai perkara dan bersikap positif. Ada pula yang tidak ambil pusing dan merasakan tidak ada perkara-perkara yang berubah. Namun ada juga yang berfikiran negatif, memikirkan perkara-perkara buruk serta kelemahan hidup.

Bagaimana dengan aku?
Tentulah aku POSITIF!!!

Sebagai Tourist Guide (TG)..
Aku bercita-cita untuk mendapat Anugerah Pemandu Pelancong Terbaik Johor 2014. Sebagai TG yang baru, sepatutnya sasaranku di tempat ketiga. Ahhhh...tempat pertama lebih sesuai untukku. Aku perlu fokus. Abaikan keseronokkan dan tugasan mudah. Keutamaanku pada tahun 2014 ialah tour-tour berunsur pendidikan dan perlu memberikan komentar penuh tanpa henti. Banyak perancangan dan skrip tour sedang aku aturkan. Tahun ini ku akan melatih diriku membawa kumpulan pelancong terhormat dan VVIP. Buangkan segala rasa rendah diri, cemas dan gelabah! aku akan menjadi TG yang lebih baik dari tahun lalu. Lions XII menjadi keutamaanku. Ada beberapa agensi yang perlu aku teruskan perkhidmatan dengan mereka dan ada yang perlu aku hentikan.

Sebagai Tour Leader (TL)..
Harapan besar bagiku untuk melihat kota Istanbul yang di asaskan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Melihat dan menjejakkan kaki ke negara yang memiliki dua benua, Turkiye atau Turki. Lebih baik kiranya aku dapat menuju ke Eropah secara percuma. Namun adakah aku akan ditawarkan bertugas ke Tanah Suci Mekkah Al-Mukarramah? Jadikanlah aku ini tetamu RumahMu Ya Rabb.. Berikanlah jemputan buatku ke tanah suci itu..

BT Tune Holidays & Services Sdn Bhd..
Lubuk duit barangkali. Syarikat ini membenarkan aku merancang tour-tour yang aku sukai dan mempromosikan mereka semahunya. Aku bertekad akan menaikkan nama syarikat bumiputra ini dan maju bersama mereka. Sales akan aku gandakan.. Promosi dan susun atur perancangan serta takwim tahunan telah dibuat. Promosi meletihkan? Memang, namun adakah sebarang pekerjaan yang mudah untuk dilakukan di bumi ini?

Tentang Jodoh..
Malu untuk diperkatakan perkara ini. Belum nampak sinar bahagia dan majlis menggoncang tangan tok kadi belum nampak jadinya. Namun awal tahun ini seolah-olah ada calon yang menghampiri. Calon itu kelihatan meyakinkan.. Kita tunggu dan lihat. Jodoh itu rahsia Allah. Antara cepat dan lambat sahaja..

Rabbi Yassir Walla Tuassir, Rabbi Tammim Bil Khair..
Permudahkanlah buatku untuk tahun baru ini Ya Allah..
Permudahkanlah jangan Engkau sukarkan segalanya buatku..

Semoga aku dan semua pembaca blog sepi ini mendapat Al-Khasanah Dunia wal Akhirat.