Wednesday, September 5, 2012

Norliana dalam kenangan..

Al-Fatehah..
NORLIANA BINTI ARMI
8/9/1984-27/8/2012
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan sejahtera..

10 tahun lalu aku mengenali seorang gadis lemah lembut, sopan dan terlalu baik. Gadis itu bernama Norliana Binti Armi. Seorang gadis kampung pemalu, merupakan anak ke9 dari 13 orang adik beradik. Dari keluarga sederhana yang diketuai oleh si ayah, seorang imam surau kampung yang bekerja sebagai peladang sawit. Keluarga besar yang harmoni, penuh dengan hilai tawa dan sangat ramah menerima tetamu.

Wanita ini banyak mempengaruhi hidup aku. Melalui dia aku belajar tentang erti kehidupan, percintaan, teknik berkenalan dengan keluarga dan cara menambat hati orang tua serta bermacam perkara. Bersamanya tidak lama, hanya 3 tahun sahaja. Tetapi perhubungan bersama keluarganya masih kekal sehingga sekarang. Kami berpisah secara baik kerana kami menyedari bahawa pendirian, perasaan dan kehidupan kami semakin berbeza. Aku melalui kehidupan sebagai pelajar dibandar yang moden dengan tahap pemikiran yang berbeza dan banyak bicara manakala dia sentiasa kekal gadis desa yang pemalu dan pendiam. Kami memaklumkan kepada keluarganya tentang niat perpisahan. Mereka tidak menyokong, namun mereka juga tidak menentang. Kakak Liana yang sulong telah official menjadi kakak angkatku, tempat aku mengadu domba, tempat aku merintih, tempat aku berkongsi pendapat serta talian hayat untuk aku terus menjadikan keluarganya rapat denganku.

Liana berhijrah ke Johor Bahru dengan tujuan mencari rezeki, memulakan hidup baru dan mungkin mencari cinta yang baru....dan akhirnya dia menemui seseorang yang cukup sesuai dan baik. Kemudian pada suatu hari ibu bapanya datang menemuiku dengan membawa sekeping kad jemputan bertulis namaku. Pasangan tua ini sangat aku hormati. Setelah bersalaman dan menyatakan hajat, si ayah berkata "Firdaus, pakcik memang tidak ada masalah tentang kamu dan hubungan kamu dengan anak pakcik. Pakcik tau kamu anak muda yang baik, pakcik memang sukakan kamu dan menganggap kamu seperti anak pakcik. Tetapi jodoh, rezeki dan maut itu rahsia Allah SWT yang maha bijaksana. Pakcik betul-betul berharap kamu akan datang rumah pakcik dengan hati terbuka, dengan senyuman dan kita sama-sama mendoakan kebahgiaan pengantin". Aku memang menerima dengan tenang kerana ini telah lama dalam jangkaanku. Kak Long telah menerangkan kepadaku bahawa kad aku itu akan di hantar sendiri oleh ayahnya. Kami berpelukkan. Aku benar-benar menghargai jemputan itu dan aku menyaksikan sendiri perkahwinan Norliana Binti Armi berserta doa demi kebahagiaan mereka.

Sekelip mata, beberapa tahun telah berlalu. Liana telah memiliki seorang anak perempuan. Aku sering mengunjungi rumah keluarganya dikampung jika ada majlis-majlis tertentu seperti pemergian ibubapanya untuk menunaikan haji, majlis perkahwinan adiknya dan pelbagai lagi. Namun aku tidak pernah berbicara lagi dengannya. Hanya lihat dari jauh dengan senyuman dan anggukkan. Suaminya juga seorang yang baik, disukai ramai, ringan tulang dan segala yang elok-elok aku dengar tentangnya. Alhamdulillah dia bahagia..

27 Ogos 2012, aku dikejutkan dengan panggilan talifon dari Kak Long yang menyatakan adiknya Liana telah meninggal dunia akibat penyakit semput. Panggilan diterima pada jam 12 tengahari dan aku sampai ke kampungnya jam 2 petang. Memang sejak perkenalan kami dia telah memiliki sakit semput, namun tak pernah sekalipun kedengaran kronik. Allah lebih menyayanginya. Dengan usia yang hampir genap 28tahun beberapa hari sahaja lagi...dia pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Meninggalkan kasih dan sayangnya pada keluarga, suami dan anaknya. Kesedihan meliputi keluarga besar ini. Aku disana untuk memberikan penghormatan dan salam terakhir. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan janazah telah disemadikan sebelom azan asar berkumandang.

Itulah pengakhiran perjalanan hidup kita. Kita menuju ke arah kematian dan kembali kepada Pencipta kita yang maha kaya lagi maha pecinta. Dari tanah kita dijadikan dan kepada tanah kita dikembalikan. Ketika malaikat bertanya, Siapa tuhan kamu? Siapa nabi kamu? Apa agama kamu? Siapa saudara kamu? Maka jawaplah Allah Tuhanku, Nabi Muhammad SAW Nabiku, Islam Agamaku dan Muslimin dan Muslimat itu Saudaraku.

Aku ingin segera pulang selepas selesai segalanya, namun pabila sampai kerumahnya hujan lebat turun mencurah-curah. Bumi dirumah itu seolah-olah menangisi pemergian seorang insan yang baik hati dan disayangi. Aku terkandas disitu. terpaksa menantikan hujan teduh kerana keretaku diparkir jauh. Mereka memaksa aku makan bersama-sama dan aku duduk makan berhadapan dengan suami dan anaknya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika aku sedih mengenangkan perkenalanku dengan arwah, maka suaminya yang hidup bersamanya tentulah lebih sedih. Anaknya menangis meminta-minta dan mencari-cari si ibu yang telah tiada. Entah bagaimana agaknya ketika mereka pulang ke rumah kelamin mereka? Apa terjadi setelah si suami melihat katil, pakaian dan barangan milik si isteri yang pergi secara tiba-tiba? Kesedihan aku dikala itu sangat sedikit jika dibandingkan dengan mereka. Bersabarlah saudara-saudaraku. Doakan pemergiannya dengan rahmat Allah SWT. Insya'Allah beliau akan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan solehah.

Buat keluarganya, takziah untuk kalian. berdoalah dan sedekah Al-Fatehah semampunya. Buat suaminya jika kamu menghadapi kesulitan bacalah 'RABBI YASSIR WALLA TUASSIR, RABBIL TAMMIM BIL KHOIR' bermaksud 'Ya Allah permudahkanlah urusanku, permudahkanlah jangan disulitkan'.

Norliana Binti Armi dalam kenangan... AL-FATEHAH.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete