Saturday, September 29, 2012

Kembali semula ke KFC

Pada 25hb September 2012 aku telah kembali menyarung semula uniform KFC dan kembali bertugas di KFC TESSA sebagai pekerja part-time. Seperti dahulu aku diberikan jawatan yang sama, seorang cook dengan bayaran yang sama dan waktu bekerja yang sangat fleksibel, sesuai dengan permintaanku. Terima kasih aku ucapkan kepada manager KFC TESSA (Sir Hairul) yg sangat-sangat memahami kerjaya dan matlamat aku. Beliau tidak pernah berkira dan tidak pernah bising-bising walau aku lebih banyak bercuti dari bekerja. Kawan-kawan setugas masih ada yang kekal membuatkan aku tidak kekok dan senang hati ketika pertama kali bertugas sesudah sekian lama menghilang.

Sebenarnya bekerja di KFC ini, memberikan kelebihan dan pengalaman. Awalnya aku memilih pekerjaan ini kerana aku memerlukan wang saku, menggunakan sedikit masa terluang untuk mencari wang tambahan dan paling penting mendisiplinkan diri agar sentiasa bangun awal untuk bertugas, bekerja dengan tekun dan malamnya belajar di IPPJ dalam mengejar impian menjadi Tourist Guide terbaik di Johor. Tetapi situasi kali ini berbeza, aku bukan lagi student seperti dulu. Aku telah lulus peperiksaan TG, namun aku masih belom mendapat batch/lesen yang aku idamkan. Untuk Kementerian Pelancongan Malaysia menyediakan Lesen Pemandu Pelancong memerlukan sedikit masa dan prosedur.

 Sementara menantikan lesen siap, dan sementara nama aku sebagai pemandu pelancong dikenali, aku perlu bekerja bagi menampung kehidupan. Alhamdulillah, sebuah syarikat ajen pelancongan bernama BT TUNE HOLIDAYS & SERVICES SDN BHD telah membenarkan aku menjadi staff tidak rasminya tanpa terikat dengan aktiviti syarikat. Aku dibenarkan bernaung dibawah syarikat itu sebagai freelance TG, menjadikan syarikat itu 'base' sebagai pejabat urusanku. Ini bermakna aku boleh menggunakan semua kemudahannya seperti fax, internet dan meja pejabat. Cuma sayangnya syarikat ini tidak mampu menggajikan aku, kerana ia hanya sebuah syarikat kecil yang baru ditubuhkan. Kebetulan aku tidak mahu terikat dan ingin berstatus 'FREELANCE', terikat dengan sesebuah syarikat bermakna aku tidak bebas dalam memilih tugasan TG, sebagai freelance aku bebas memilih tugasan mahupun menolak tugasan. Aku memikirkan KFC lebih sesuai jika aku ingin menjadi TG, sebelum bergelar TG aku masih perlu mengikuti beberapa latihan praktikal dan outing bersama kementerian. Pekerjaan lain akan menyukarkan aku keluar outing, nak mintak kerja susah...kalau dah mulakan kerja baru bukan senang nak mintak cuti. Disnilah kelebihan KFC, mereka menyediakan jadual tugas mengikut kehendakku dengan syarat aku berdisiplin dan sentiasa memberitahu lebih awal tentang urusan lainku. Selain itu KFC ada staff meal, jimat sikit belanja makan tenghari aku.

Tugasku di KFC bermula jam 7 pagi dan pulang selepas jam 3 petang. Bekerja dari isnin hingga khamis. Hari jumaat dan sabtu aku akan meluangkan masa dipejabat BT Tune Holidays. Jadi hari minggu aku dapat dedahkan diri dalam dunia pelancongan. Sekiranya ada kerja tambahan dapatlah aku laksanakan. Mudah untuk pulang bercuti dikampung dan mudah untuk mengikuti latihan TG dari kementerian. Sememangnya aku jenis liat untuk menunaikan solat subuh, kelemahan yang sentiasa aku akui. Dengan perlunya bertugas pada jam 7 pagi, aku dapat mendisiplinkan diri untuk bangun seawal jam 6 pagi, bersiap dan bersolat subuh lalu keluar bertugas. Selalunya jika subuh dapat dilaksanakan, maka pastinya solat 5 waktu lebih mudah dicapai...Alhamdulillah.

Satu masa dulu, ada seorang teman yang tak berapa rapat denganku telah mengatakan sesuatu yang amat pedih didengar. Dia ni anak keluarga berada barangkali, dengan selamba dia menyapa aku dengan kata-kata "kau ni daus, bodoh ke apa? Kerja KFC aje yang kau pilih? Bangga pulak dengan kerja tu? Oiiii..orang lain kerja yang lagi baguslah, baru boleh bangga!!", aku sedih mendengar pandangannya. Wahai sahabat, anda tidak betul-betul mengenali diriku. Aku memang berbangga bekerja di KFC, kerana aku memiliki gaji yang halal, kawan-kawan muda, semangat yang kental dan banyak lagi keistimewaan lain. Yang paling aku banggakan bukanlah gaji yang kecil itu, tetapi aku BANGGA pada diri aku yang mampu melakukan 2 tugas dalam satu masa. Aku bekerja lasak sebagai tukang masak KFC dipagi hari dan mengikuti kelas diwaktu petang hingga ke lewat malam. Pulang dari kelas aku terpaksa membuat banyak bacaan kerana sebagai TG aku perlu berilmu. Aku turut bangga kerana aku masih dikurniakan oleh ALLAH SWT dengan kesihatan dan kekuatan untuk melakukan perkara ini. Aku juga bangga kerana dapat bergaul dengan kawan-kawan kerja yang muda..ada antara mereka berusia separuh dari umurku. Aku diterima dengan baik walau aku lebih tua dari assistant manager KFC TESSA. Mereka hormat padaku dan memanggil aku abang, ada yang tidak percaya bila aku katakan pada mereka aku telah berusia 30 tahun..mereka sangkakan aku berusia dalam 24 tahun..ternyata aku masih kelihatan muda...alhamdulillah.

Wahai teman, memang bekerja di KFC kadangkala lasak dan memenatkan. Menjadi cook perlu berbadan besar dan kuat kerana perlu mengangkat ayam-ayam yang berat. Pernah beberapa kali tangan aku ini terlecur akibat cuai semesa memindahkan minyak panas. Namun, itu semua rencah hidup sebagai anak orang sederhana yang tidak mahu terlalu membebankan keluarga. Aku tidak sepertimu...hidup tanpa kerja, hanya jalan-jalan dan meminta-minta wang saku dari ayah ibu yang telah tua. Aku tiada kereta sepertimu, tiada awek 'cantik' yang ber'kos' tinggi seperti awekmu, tiada kehebatan, keanggkuhan dan keegoan tinggi sepertimu. Aku hanya anak kampung yang melakukan hijrah demi mengejar masa depan yang lebih baik. Namun aku yakin aku lebih baik dari kamu, lebih bijak dari kamu, lebih lasak dari kamu, lebih hensem dari kamu malah lebih segala-galanya dari kamu. Aku telah buktikan dengan peperiksaan TG kita, aku LULUS manakala kau yang 25jam FREE, GAGAL! Kalau aku ada wang dan masa sepertimu, tentunya aku lebih hebat dari sekarang....

Surah Luqman ayat 18 bererti: Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membangga diri.

Inilah cerita tentang hidupku dikala ini. Masih belum mencapai cita-cita namun sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. "RABBI YASSIR WALLA TUASSIR, RABBIL TAMMIM BIL KHOIR.." Permudahkanlah urusan ku ini Ya Allah, permudahkanlah jangan Engkau sulitkan..  Ampunilah dosa-dosaku, ampunilah dosa kedua ibu bapa ku, sayangilah mereka, kasihanilah mereka dan cintailah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku sejak aku masih kecil. Semoga kita sentiasa menjadi insan yang lebih baik dari hari ini....dan esok lebih baik dari hari ini serta hari-hari kemudian lebih baik dari hari ini.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Perkhidmatan pos antarabangsa paling murah!
    Gunalah Viabox. Antara kelebihan Viabox adalah 100% keahlian percuma, tiada caj pemprosesan dan tiada caj tersembunyi. Barangan anda dijamin selamat dan penghantaran dijamin laju. Maklumat lanjut boleh di dapati di www.viabox.com.

    ReplyDelete