Friday, October 12, 2012

Dialog dengan Imam SIRI 3

Setelah sekian lama tidak pulang ke kampung dan berdialog bersama imam, akhirnya minggu lalu aku berpeluang. Masih Imam yang sama, tetap sihat Tuan Haji Ibrahim ini.. (kepada mereka yang baru mengikuti Siri Dialog Dengan Imam ini aku cadangkan membaca siri 1 dan 2 yang diterbitkan pada tahun 2011)

Imam (I) : Assalamualaikum Shiekh..wahhh..lama tak nampak? Amacam bandar? Ada jumpa apa yang dicari?
Aku (A) : W'salam Imam. Sihat alhamdulillah..masih tercari-cari sesuatu imam. Sendiripun tak tau apa yang dicari.
(I) : Awak tak ada shiekh, saya takde tempat nak bercerita. Sunyi jugak rasa bila takde pendengar muda ni.
(A) : Apa yang nak diceritakan tu imam? Saya memang rindukan imam, silakan mula bercerita..
(I) : Ish..bagi la topik. Saya bukan penceramah bebas..boleh bercerita tanpa punca. Berikan tajuk la sekurang-kurangnya. Budak muda memang macam ni, nak belajar tapi tak pernah tau apa yang patut dipelajari.
(A) : Ermmm..apa ekk?
(I) : Kalau ada persoalan barulah kita boleh berbincangkan jawapan penyelesaian.
(A) : Imam...saya sering teringat, arwah atuk saya semasa penghujung hayatnya dalam keadaan nyanyuk, sakit terbaring dan tak mampu bangun, tetapi saya dapat lihat dan dengar dengan jelas mulutnya berkumat-kamit berzikir..'Allahu..Allahu..Allahu'. Bagaimana orang sakit seperti dia mampu mengingati zikir? Apakah itu satu amalan ilmu? Apa ertinya? Apa Fadhilatnya?
(I) :  Atuk kamu Shiekh Hassan Bentrish memang terkenal dengan ketegasan, disiplin, murah hati dan kuat beramal. Dia ada pelbagai cabang ilmu.
(A) : Tapi bagaimana orang tua uzur sepertinya mampu mengingati Allah, walau dia lupa tentang keadaan diri dan keluarga? Kita yang sihat tak mampu mengingati Allah sepertinya.


(I) : Kita manusia mempunyai roh dan jasad. Sebagaimana jasad atau badan kita memerlukan makanan yang bernutrisi seperti karbohidrat, protein, kalsium, vitamin dan lain-lain, roh kita juga memerlukan makanan.
(A) : Contoh makanan roh?
(I) :  Melaksanakan rukun Islam, mempercayai rukun Iman dan rukun Insan serta amal ma'ruf nahi mungkar.
(A) : Apa kaitannya dengan zikir?
(I) : Itu satu daripada makanan roh. Jika badan tegap, lawa dan cantik merupakan ketinggian darjat pada pandangan mata, macam tu juga iman dan roh. Apabila makan terlalu banyak kita akan muntah. Jika beramal terlalu banyak turut akan muntah...tetapi memuntahkan bererti menaik tarafkan kedudukan iman.
(A) : Fuhhh..makin tinggi pelajaran harini...maaf imam, saya kurang faham.

(I) : Atuk kamu ketika sakit, telah menolak makanan badan. Namun, rohnya perlukan persediaan sebelum kembali di panggil Ilahi. Ilmu dan imannya telah mengingatkan dia tentang kebesaran Allah. Maka dia terus berzikir hingga dipanggil pulang. Zikir itu mungkin telah sebati dengan dirinya sehingga menjadi kebiasaan baginya.
(A) : Ooooo..hanya mereka yang memahami zikir mampu terus mengamalkan zikir. Lidahnya dah biasa dibasahi dengan zikrullah. Macam mana tentang perbezaan martabat pula imam?
(I) : Perbezaan diantara kita orang biasa sangat jauh jika dibandingkan dengan martabat para aulia dan para waliullah. Kamu tahu apa dan siapa wali Allah?
(A) : Para wali itu ialah mereka yang dikasihi oleh Allah kerana mereka sangat taqwa dan salih kepada Allah. Mereka itu kuat beramal ibadah dan ikhlas melakukan ibadah hanya untuk berbakti kepada Allah semata. Benarkah para wali memiliki karamah, imam?
(I) : Para ulama berkata, kurniaan martabat waliullah oleh Allah kepada orang-orang yang dikasihiNya itu. Adalah dengan kudrat dan iradatNya berdasarkan amalan dan kebersihan hati orang-orang itu.

Oleh itu martabat wali dengan karamahnya itu  biasanya datang tidak dicita-citakan sebelumnya. Bahkan para aulia itu sendiri biasanya merasa takut akan kedatangan keramah itu kerana ia adalah satu kurniaan yang sangat besar dan berat atas diri mereka.

Keramah itu ditakuti boleh menimbulkan rasa riak atau ujub dalam hati mereka tentang kelebihan mereka daripada manusia lain. Jika perasaan ini timbul, hapuslah keikhlasan mereka hati mereka dan kuranglah darjat ketaqwaan mereka kepada Allah.

(A) : Adakah kelebihan itu diberikan juga kepada orang kafir? Contohnya Firaun yang berkuasa dan kekayaan harta yang banyak kepada Qarun?
(I) : Dalam istilah agama, nikmat dan kelebihan seperti ini dinamakan 'istidraj'. Kadang-kadang diberikan juga kepada golongan orang-orang yang ingkar. Allah tidak menyeksa mereka serta merta, tetapi diberikan kepada mereka kesenangan dan kekuasaan. Oleh kerana mereka masih ingkar dan bongkak, ketika itu barulah Allah menurunkan bala dan seksaNya.
Didalam Al-Quran terdapat terdapat kisah hamba-hamba Allah yang dikasihi dan diberikan kelebihan tertentu olehNya. Kamu pernah dengar?

(A) : Saya pernah terbaca, imam. Antaranya:

(1)  Kisah Ashabul Kahfi.
Disebutkan oleh Allah dalam Surah Al Kahfi (ayat 9-26) iaitu kisah pengalaman sekumpulan hamba Allah yang salih ditidurkan selama 309 tahun didalam gua.

(2) Kisah Khidir dan Nabi Musa
Surah Al-Kahfi (ayat 65-82) mengisahkan tentang pengalaman Nabi Musa a.s. dengan seorang hamba Allah Khidhir (sesetengah ulamak menamakannya Nabi Khidhir) yang diberi ilmu ghaib atau khasyaf oleh Allah hingga beliau mengetahui ilmu Allah yang akan datang.

(3) Keramah Siti Maryam
(Surah Al-Imran ayat 37) Allah menceritakan kisah keganjilan Siti Maryam dan keramahnya yang diberikan oleh Allah kepadanya ketika beliau tinggal didalam mihrab (bilik tempatnya beribadah).

(4) Asif Bin Barkhaya
(Surah An-Namli ayat 38-40) Allah menceritakan satu kisah ganjil yang melibatkan seorang hamba Allah yang mendapat kelebihanNya yang berlaku pada zaman Nabi SUlaiman a.s. Nabi Sulaiman ingin memindahkan istana Ratu Balqis yang jauh beribu batu, jin Ifrit sanggup melakukannya sebelum Nabi Sulaiman beredar dari duduknya tetapi Asif sanggup membawa istana itu sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip.

(I) : Itu semuanya adalah kisah para auliaullah dan karamah mereka sebelum Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul. Kamu tahu kisah selepasnya?
(A) : Saya kurang tahu, Imam. Nak dikongsikan bersama?

(I) : Salah satu kisah karamah waliullah sesudah Rasullullah SAW wafat ialah kisah |Umar Al-Khatab yang dibukakan hijab oleh Allah. Kelebihan Umar Al-Khatab memang diketahui Rasullullah ketika baginda masih hidup. Sabda baginda yang bermaksud: 'Adalah dikalangan umat-umat sebelum kamu mereka yang mendapat ilham. Andainya dikalangan umatku ada seorang daripada mereka, maka orang itu ialah Umar Al-Khatab.'

Antara karamah Umar Al-Khatab ialah:

(1) Beliau mampu melihat pertempuran tentera Islam yang sedang berlaku beribu-ribu batu jauhnya dari masjid Madinah, serta dapat memberi arahan peperangan hingga dapat didengari tentera Islam disana dan memberikan kemenangan kepada Islam.

(2) Menghentikan gempa di Hijjaz dengan bertahmid memuji Allah SWT serta memukul tongkat ke tanah sambil berkata (maksudnya): 'Hai bumi tenanglah kamu!' Dengan izin Allah bumi tidak bergoncang lagi.

(3) Suratnya kepada Sungai Nil. Negara Mesir dibawah pimpinan Amru Al Ash menghadapi kemarau panjang. Khalifah Umar Al-Khatab menulis surat yang ditujukan kepada Sungai Nil yang bertulis (maksudnya): 'Dari Umar Amirul Mukminin, kepada Sungai Nil di Mesir. Jika kamu mengalirkan airmu dengan kehendak dirimu sendiri, janganlah kamu mengalir. Tetapi jika kamu mengalir dengan kehendak Allah Yang Maha Esa dan Perkasa, maka kami mohon kepada Allah untuk mengalirkan kamu.' Surat itu dilemparkan oleh Amru Al Ash ke dalam sungai yang kering itu. Dengan izin Allah, pada malam itu mata air menyembur keluar disepanjang sungai dan ia kembali seperti biasa hingga ke hari ini.

Selain dari empat sahabat besar (4 orang khalifah) terdapat banyak karamah sahabat-sahabat lain. Antara yang memilikinya ialah Hamzah Bin Abu Mutalib, Khalid Al-Walid, Abu Hurairah, Saad Bin Abi Waqas, Salman Al-Farisi dan banyak lagi.

(A) : Bagaimana selepas zaman sahabat pula?
(I) : Sentiasa ada Shiekh..sehingga kini. Antara nama-nama besar seperti Shiekh Abdul Qadir Jailani, Imam Ahmad Bin Hambal, Umar Bin Abdul Aziz dan banyak lagi termasuk dari golongan wanita.
(A) : Bagaimana dengan kisah Wali Songo di Tanah Jawa?
(I) : Wali Songo (wali sembilan) sangat terkenal diseluruh dunia melayu. Kisah karamah sembilan wali ini begitu mahsyur di Tanah Jawa hingga ramai yang taksud telah mengambil kesempatan manembah-nambah riwayat hidup mereka hinggkan susah nak dibezakan antara fakta dengan dongeng.

(A) : Adakah kisah mereka benar berlaku?
(I) : Jika Al-Quran itu diakui sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar dan abadi, maka ke-Islaman hampir seluruh penduduk Tanah JAwa hingga Indonesia sekarang adalah hasil dari jalan jihad yang diperjuangkan oleh para Wali Songo itu sejak lebih lapan abad dahulu dan berkat karamah serta jasa para mubaligh lain yang sezaman dengan mereka.
(A) : Ceritalah lagi tentang Wali Songo, Imam..
(I) : Kamu perlu rajin membaca kalau nak tahu. Saya tak pandai nak menceritakan segalanya. Belilah buku yang berkenaan dan fahamilah perjuangan mereka.
(A) : Baiklah imam, nanti saya cari buku.
(I) : Saya balik dululah. Ada urusan dirumah. Balik kampung rajin-rajinlah ke masjid Shiekh, jenguk kami warga tua di masjid ni. Sekarang tiang masjid lebih ramai dari jemaah.
(A) : Insya'Allah imam.

No comments:

Post a Comment