Tuesday, September 27, 2011

Dialog dengan Imam SIRI2

Sambungan dari SIRI 1. Watak masih 2 orang yang sama antara aku (bilal part time) dengan Haji Ibrahim (Imam full time). Namun tarikh dan masa yang berbeza. Perbualan ini menggunakan bahasa pasar.

Port Lepak : Perkarangan masjid.
Waktu Lepak : Lepas zohor.

Imam (I) : Shiekh..(nama panggilan untukku di masjid) awak kerja dalam industri pelancongankan?
Aku (A) : Ya Imam..kenapa?
(I) : Sepengetahuan saya, pelancong-pelancong ni terutama yang datang dari eropah, mereka minum arak macam minum teh tarik je. Saya betul-betul mengharapkan awak tak terlibat. Bukan apa, kita selalunya lemah kerana terbiasa dengan persekitaran. Harap awak boleh membezakan yang haram dan yang halal.
(A) : Tidak imam. Saya cuma bekerja dalam industri itu, tapi saya langsung tak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat. Memang saya tak nafikan, ramai yang terpedaya dan hanyut. Alhamdulillah, saya masih memiliki kesabaran yang tinggi. Terima kasih kerana amik berat tentang saya imam.
(I): Saya bukan apa, sedih melihat kemungkaran. Lagi sedih jika jemaah muda dalam masjid saya macam awak. Dah molek-molek, terlibat pulak. Jangan rasa hati atas teguran saya ye..
(A) : Langsung tak terasa hati imam, malah terharu bila imam ambil tau tentang kerja dan keadaan saya. Boleh tak imam terangkan pada saya kenapa arak itu haram?

(I) : Ia sangat jelas, bukankan arak itu memabukkan dan saya yakin awak tau apa implikasinya kepada orang sekeliling jika seseorang itu mabuk.
(A) : Kalau begitu, kenapa agama lain termasuk kristian tidak mengharamkan arak juga?
(I) : Tidak jugak. Sepengetahuan saya dalam bible ada menyentuh tentang arak. Ada ungkapan menyatakan; 'wine is a mocker, strong drink is raging, and whosoever is deceived thereby is not wise'. Ada didalam proverb 20:1 dan seingat saya lagi 'And be not drunk with wine'. Yang itu tertulis dalam Ephenesians, 5:18. Jadi, kristian juga mencegah arak. Tetapi seperti kita, ada sahaja yang tidak menitik beratkan agama.
(A) : Pehhh..luasnya pengetahuan imam! sampai bible pun imam tau?
(I) : Orang muda...tambah pengatahuan awak! Ilmu Allah ni terlalu luas. Sayang kita tak punya kelebihan seperti Imam Syafie yang boleh menghafal segalanya dalam sekali bacaan.

Aku kagum dengan pengatahuan imam yang kelihatan 'biasa-biasa' itu, rupanya betul 'Don't judge a book by its cover'. Pengetahuannya sangat luas. Seorang ustazpun belum tentu boleh merungkai seusatu begitu dalam.

(I) : Islam adalah agama yang memelihara kesejahteraan penganutnya dan masyarakat disekelilingnya. Mabuk kerana meminum arak adalah suatu jenayah yang boleh menyebabkan kacau bilau dalam masyarakat. Lihat saja kes kemalangan yang melibatkan kematian mereka yang tidak berdosa kerana pemandunya yang mabuk. Kes rogol, zina, haruan makan anak, bunuh dan segala macam jenayah lagi turut berlaku akibat mabuk setelah meminum arak.
(A) : Jika mabuk kerana minum atau makan benda lain,  macam mana imam?
(I) : Ya hukumnya tetap sama. Asalkan ia memabukkan dan meletakkan manusia dibawah tahap kewarasan, maka haramlah ia.

(A) : Tapi imam, arak juga banyak kebaikannya. Ada yang menggunakan dalam masakan untuk menyedapkan makanan. Waktu sejuk digunakan untuk menghangatkan badan dan ia juga baik untuk kehangatan dan kesihatan badan. Contohnya ibu yang baru lepas bersalin di barat katanya digalakkan meminum arak untuk menghangatkan badan dan mengeluarkan darah-darah kotor dari badan mereka.
(I) : Dari sudut saintifik, ya, ada kebaikkannya. Namun dalam Islam kita melihat antara kebaikan dan keburukan arak, yang mana lebih mendominasi. Keburukan adalah lebih banyak. Islam itu agama pencegah. Bukankah pencegahan lebih baik dari merawat?

(A) :Macam mana pula dengan orang yang minum arak tapi tak mabuk? Saya pernah dengar ada orang minum arak sampai sepuluh botol, tapi masih tak mabuk.
(I) : Kita ikut logik akal. Awak cuba minum sepuluh botol air kosong sekaligus. boleh tak?
(A) : Mana mungkin, imam! Masuk botol keempat dah nak meletoplah perut saya.
(I) : jadi awak faham maksud saya?

Aku cuma menggelengkan kepala. Tidak mengerti.

(I) : Seorang yang normal, nak minum sepuluh botol air kosongpun tak mampu. Macam mana nak minum sepuluh botol arak serentak? Mabuk la tu namanya! Mustahil minum sepuluh botol berterusan kalau tak mabuk.
(A) : Ooooooooooooooo...begitu panjang muncungku.

TO BE CONTINUE...

Barulah aku faham analogi yang digunakan oleh Imam. Pendekatan yang sungguh berhikmah. Sekarang aku mengerti mengapa Islam mengharamkan arak.Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud:
Mereka bertanya  kepadamu (wahai Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya terdapat dosa yang besardan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya', Dan mereka bertanya kepadamu apa yang lebih nafkahkan. Katakanlah: 'Yang lebih daripada keperluan'. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir.


Pengajaran dari kisah ini

Perkara yang secara jelas diharamkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah, dalm kualiti apapun akan tetap menjadi haram. Walau kita cuba berhelah bagi menghalalkan perkara yang haram itu. Hakikatnya kita tidak akan dapat menipu Allah.

Islam itu agama pencegah. Allah menjauhkan kita dari setiap sesuatu yang keburukannya mengatasi manfaatnya. semua itu adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, jika mereka mahu berfikir. Sesungguhnya Allah jua yang maha mengetahui akan setiap sesuatu.


Friday, September 23, 2011

Surat buat bakal isteriku...

                                                                                        23 septermber 2010

Kehadapan bakal isteriku yang tercinta,

Aku mengharapkan surat ini dapat mengelakkan dirimu dari terus-terusan diulit mimpi yang syahdu. Aku khuatiri seandainya dirimu terlalu mabuk dengan cintaku sehingga melayang ke syurga nun jauh disana. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan dilangit, biar gegar dilantai bumi, lautan api sanggup dikau renangi. Aku pasti itulah kuasa cintamu padaku! Pengorbanan yang akan dikau tawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia. Berehatlah seketika wahai kasihku, ini demi kebaikanmu.

Sayangku,
Tiada insan yang sengaja mencari derita seperti ikan mencari air, sidahaga mendambakan seteguk minuman, atau mata mengantuk mencari bantal. Demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Kekasihku,
Marilah bersamaku, berehat sebentar, beristighfar, memahami dan berusaha untuk menjawab beberapa persoalan realiti yang sering bermain difikiranku. Sebelum kita terus menerus dibius cinta, sebelum janji ditabur menyulam kata, sebelum ikatan disahkan agama, apa salah kiranya kamu memberikan bagi persoalanku.

Wahai bakal isteriku,
Setelah kita berumahtangga, pelbagai perkara bakal menjelma. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah dikau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?

Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita dihatimu?

Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh daripada mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana 'menanggung' aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah dikau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?

Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu meceriakan aku, namun sabarkah dikau denganku? Mampukah cinta kita dihatimu terus membenih bahagia?

Jika kerjayaku berkembang diluar jangkaan kita, dikau terpaksa berkongsi diriku dengan masa dan aku terpaksa selalu ke sana sini untuk bekerja, sabarkah dikau dengan susana itu, dan apakah aku masih cinta hatimu?

Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumah tangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah dikau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumah tangga kita?

Sekiranya rumah tangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini didalam kain pelekat yang pernah dikau hadiahkan kepadaku, apakah ia akan menggugat cinta kita? Mampukah dikau terus hidup disisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Cintaku,
"....Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya". (Al-Baqarah 2:286). Kita perlu menyedari bahawa kehidupan berumah tangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh daripada realiti alam nyata. Mari kita pastikan langkah kaki kita tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir diminda.Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya.

Marilah kita berjuang berbekalkan takwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia. Marilah kita berjuang sampai mengecap bahagia perjuangan. Kejayaan bukanlah sebuah destinasi, tetapi ia adalah sebuah perjalanan.

"Aku amat mencintaimu..:.

                                                                                        Bakal Suamimu:
                                                                                       Firdaus Bentris




*Karya asal : Firdaus Bentris
*Bahan rujukan : AKU TERIMA NIKAHNYA, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.












Thursday, September 22, 2011

Persoalan Diri dan Jawapannya

Kenapakah aku tidak mendapatkan apa yang aku idam-idamkan?
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui (Surah Al-Baqarah ayat 216).

Kenapa ujian seberat ini?
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Kenapa perlu rasa kecewa?
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Surah Al-Imran ayat 139)

Bagaimana aku harus menghadapinya?
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. (Surah Al-Imran ayat 200) Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah ayat 45)

Apa yang aku dapat dari semua ini?
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (Surah Al-Taubah ayat 111)

Kepada siapa aku berharap?
Cukuplah Allah bagiku; tidak ada yang lain selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. (Surah Al-Taubah ayat 129)

Apakah aku dapat bertahan?
...dan jangan kamu putus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kamu yang kafir. (Surah Yusuf ayat 87)

Wednesday, September 21, 2011

Malaysiaku..oh Malaysiaku..

Hari ini kita masukkan sedikit elimen jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Pengalaman menarik berlaku pada pagi tadi, kata orang 'banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam'. Masyarakat majmuk negara kita mempelbagai kerenah dan perangai. kadang kala menyentap hati dan perasaan. kadang kala hilang kesabaran. Janganlah kita lupa sebagai rakyat Malaysia tercinta, kita memiliki rukun negara yang salah satunya berbunyi "kesopanan dan kesusilaan". Malangnya kesabaranku pagi tadi lenyap dan hilang kawalan. Marahku menjadi-jadi dan tidak terbendung. Kemudian bila tersedar, aku malu pada diri sendiri dan malu pada tuhan kerana agamaku menitik beratkan soal sabar didalam iman. ikuti kisahku ini..

"Arghhhhhhhh...kenapa aku tak perasan gula dah habis?", aku bermonolog sendirian. Terus bergegas memandu keretaku ke kedai.


Di kedai Ali Tepin
"Ali bagi aku gula pasir 5kg. cepat sikit, aku nak lekas ni". Aku memberitahu separuh menggesa ali.
"sekejap bang, nak komen dlm facebook ni kejappppppppp jek.."Ali menjawap. Tak dipandangnya aku, sibuk menghadap komputer ribanya. Hatiku mula mendidih.
"ko pegi amik sebelum aku jirus air atas lappy ko ni!". Aku kegeraman.
"yelah..yelah!", ali menjawap acuh dan tidak sambil bergerak. Lama aku tunggu, kemudian dia datang dengan muka yang tersengih "bang, gula dah abis". Cepat-cepat aku beredar ke kedai lain.

Di kedai Kunyit
"Selamat pagi toqqq..", aku disapa kunyit dengan bahasa entah dari planet mana.
"Nyit bagi aku gula 5kg. cepat sikit".
"Apa celop cepat-cepat toqqq?" jawapnya.
"Buat je la cepat, nak makan kaki? loyar buruk je! bahasa apa kau guna ni?", aku tak berminat melayan kerenahnya di pagi yang sibuk ini.
"Lu tak tengok cerita hantu bonceng ke toqqq? Apehal amik 5kg, amik la 25kg ke, 50kg  baru semangat sikit gua nak amik cepat-cepat toqqq, apa celop?". Aku dah makin rimas nak melayan kerenahnya. Menyesal betul aku tak periksa 'inventory' malam tadi. Kunyit datang dengan muka yang xselesa.
"Toqqq gula tinggal 1kg je, lu nak angkat ke?", katanya.
Aku terus menyerang "tadi kata suruh amik 25kg, 50 kg tapi 5 kg pun kau tak ada! Aku pergi kedai chandru la macam ni". Terus aku keluar menghilangkan diri.

Di kedai Chandru
Aku tak gemar ke sini. Susah mendapat parkir dan terpaksa berjalan jauh dikala masa yang terhad. "Macha..apa mau?", tanya chandru kepadaku.
"Bang bagi gula pasir 5kg. cepat sikit tau!", aku mengarah. Chandru datang kepadaku dengan 2 bungkus gula. "Tinggal 2 saja macha, lain finish..", ada pulak bahasa inggeris terkeluar dari mulutnya beserta dengan gelengan kepala.
"apesal susah sangat nak cari gula ni bang? nak naik harga lagi ke?", aku sudah mula hilang sabar.
"Awak mau gula banyak, pergi kedai apek sebelah la. Saya tinggal dua saja. Lori belum sampai hantar gula. Bukan salah saya". Chandru menjawap.
Aku terus ke kedai apek di sebelah.

Di kedai Apek
"Apek gula pasir ada? bagi 5kg", terus aku bertanya. Apek cuma menganggukkan kepala tanpa sebarang patah kata. "Sombong benar si tua ni berniaga. Bisu aganya", monolog ku didalam hati. "Sebelas ringgit lima puluh sen", kata si apek. Aku membayar dan menerima gula beserta baki.
"Apek bagi extra plastik la. ini sudah koyak sikit, nipis sangat pulak tu", aku meminta. "Tak boleh plastik manyak mahal tau sikalang", apek itu menjawap dengan telo cinanya. "Tapi gua beli 5kg, lu bagi plastik yang sesuai la", aku masih tidak berpuas hati. "Tak boleh maa, tak jatuh punya. Itu plastik banyak kuat. Koyak sikit aje. Boleh pakai lagi", katanya.
Aku dah hilang kesabaran, "apek lu kasi tukar. Kalau lu sayang plastik ni, lu simpan angkat wa baru punya!". Dia mengalah dan memberikan plastik yang baru, cumanya plastik baru bersaiz sama dan ketebalan yang sama.
"Apek ini saiz boleh koyak la. Aku nak jalan bawak berat lepas tu jauh! ko bagi yang besar la.", waktu ini aku sudah hilang hormat pada orang tua. Pada aku dia tak boleh dilayan.
"Tak boleh! plastik mahal maa! Lu jangan pegang pakai tangan, kasi peluk itu gula la", dia masih tak nak bekerjasama.
Akhirnya kemarahan meletus, "WOI APEK. BERAPA MAHAL PLASTIK? GUA BAYAR! NAH AMIK NI RM5, CUKUP UNTUK PLASTIK KAU?", aku menjerit sambil melemparkan duit lima ringgit ke atas meja bayaran.
Apek itu kelihatan kaget,."sabarlah jangan gado-gado. ok-ok..wa kasi tukar plastik besar. Jangan marah la encik. kecik punya hal. sori ar..", apek itu memujuk sambil menukarkan plastik dan memulangkan wangku.
Aku terus beredar pergi tanpa menoleh dan memafkannya.

Setelah segalanya selesai, bila aku telah siap dengan tugasan-tugasan dan berehat. aku mula terfikir kembali, kenapa mesti aku marah sangat? Allah menduga aku dengan situasi kecil, tapi aku memilih untuk menjadi kasar dari beristighfar. "Astaghfirullah.., ampunilah dosa-dosaku Ya Allah...". Perkara kecil xperlu dibesar-besarkan.

Di kedai Ali- dia tidak fokus pada tugas, lebih bermain dari bekerja dan langsung tidak tahu barangan apa yang kekurangan.

Di kedai Kunyit- dia bijak, tetapi terlalu loyar buruk sehingga kadang kala merimaskan. Dia juga memiliki masalah yang sama dalam menjaga 'inventory' barangan.

Di kedai Chandru- dia tau apa yang dia perlu ada, dan dia juga menyelesaikan masalah aku dengan memberitahu dimana aku boleh memperoleh barangan itu. Barangkali dia sudah banyak pengalaman.

Di kedai Apek- penjaga barangan yang baik serta berjimat cermat. Tetapi terlalu berkira dan kedekut. MAKA ada patut dia berjumpa sesekali dengan pelanggan yang ganas. pengajaran untuknya.

Masalah aku- sama seperti 2 pekedai yang awal, tidak menjaga stok barangan, dah kesuntukan masa baru nak mencari dan kurang sabar. Bahasa melambangkan bangsa. Aku merendahkan bangsaku dengan kata-kata yang kasar dan kelakuan yang biadap. AKU PERLU BERUBAH!

Ada bijak pandai yang entah dari mana asalnya mencipta satu frasa dalam bahasa inggeris yang berbunyi:
If You're not lazy, you're not Malay!
If you 're not drunk, you're not Indian!
If you're not cheat, you're not Chinese!
Aku tidak percayakan semua itu. Kita satu negara, satu cara yang sama. Bangsa kita disini jauh berbeza dengan negara lain. Aku sering ke Singapura, melayu, india dan cina mereka juga berbeza. Yang penting kita mengikut rukun negara kita. KESOPANAN DAN KESUSILAAN. Sesiapapun suka dihormati. Tidak akan jatuh martabat kita dengan menghormati yang lain.

Monday, September 19, 2011

Dialog dengan Imam SIRI 1

Dialog ini kisah benar untuk dikongsikan. Ia melibatkan diriku (bilal part time) bersama Haji Ibrahim (Imam full time) Masjid Jamek Kampung Sri Lalang, Mersing, Johor. Haji Ibrahim merupakan seorang imam yang 'super cool', pandai bergurau dan apa yang paling aku gemari ialah kata-kata yang dilafazkannya sentiasa berisi, berilmu dan berguna. Sama-samalah kita mencari kupasan menarik dari kisahku yang tidak seberapa ini.

Port Lepak : Perkarangan masjid.
Waktu : Selepas solat asar.
Penceritaan ini menggunakan bahasa pasar. harap maklum..

Imam (I) : Shiekh (nama panggilan ku di masjid) awak selalu berbual dengan ayah awak?
Aku (A) : Selalu imam.
(I) : Topik apa?
(A) : Sukan, kerja, politik, ekonomi, sosial dan duit.
(I) : Tentang agama?
(A) : Hehehehe...(hanya tersengih..)
(I) : Saya selalu berbual dengan anak saya, bila dia balik bercuti dengan keluarga dia. Eh...awak bila nak kawin?
(A) : Imam...teruskan cerita imam. Saya tengah fokus ni! Jangan mudah terkeluar dari topik! bosan la macam ni..
(I) : Hahaha...muka tak laku! Saya suka berbual dengan orang muda. Pandangan mereka selalunya pelik-pelik dan jauh dari logik akal.
(A) : Apa yang 'best' nya imam? Mengarut kami pandailah.
(I) : Bukan semuanya mengarut. Cuma kadang-kadang cara kamu orang muda berfikir singkat sangat.
(A) : Terlalu berat la program komputer imam ni. Processor saya tak dapat nak ikut....hehehe. bagi contoh imam.
(I) : Anak lelaki sulong saya tu..dia nak saya berhenti kerja. Katanya nak saya berehat-rehat, banyakkan guna tenaga untuk beribadah saje, 'rileks' dan xpayah kerja.
(A) : Itu anak yang baik. baguslah macam tu imam.
(I) : Dia kata gaji dia besar. Dia mampu tanggung mak abah dia dengan adik dia yang tengah belajar sekali. Dia ada duit. Kononnya saya dah puas kerja nak sekolahkan dia dulu, jadi sekarang dah tak payah kerja lagi. Agaknya itu je yang ada dalam kepala dia.
(A) : Apa masalahnya dengan pandangan dia tu imam? Saya cuma nampak kebaikan dan kasih sayang seorang anak pada ayahnya saja.
(I) : Awakpun sama saja dengan dia. Singkat fikiran! Biar saya jelaskan pada awak dengan cara sama macam saya jelaskan pada anak saya. Begini..

Yang pertama..
Abah bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Dulunya abah bekerja dengan tujuan nak besarkan kau, nak beri kau ilmu duniawi sebagai asas kehidupan dan nak beri kau ilmu agama sebagai persediaan akhirat. Tanggungjawap menyediakan segalanya itu adalah berat. Abah kerja keras hingga kau berjaya, dan kau tak hampakan abah. Alhamdulillah..
Tetapi anakku, sekarang kau dah berkeluarga. Kau dah ada anak-anak dan 'automatik'nya kau dah memikul tanggungjawap yang sama seperti abah satu masa dulu. Keutamaan kau ialah keluarga kau! Beri pendidikan yang baik untuk anak-anak, beri kemudahan yang terbaik dan beri kehidupan bahagia untuk mereka. Sekarang abah bekerja untuk diri abah dan mak kau saja. Adik kau boleh la kau bantu. Jangan susahkan tentang diri abah, selagi abah sihat abah akan bekerja, dan jika dah tak berdaya abah akan berhenti.

Yang kedua..
Menunaikan ibadah seperti solat dan puasa sambil bertugas dan bekerja memberikan pahala yang besar. Seorang lelaki tua yang sudah pencen, hanya 'rileks' dan menunggu azan untuk berjemaah itu baik. Menghabiskan sisa hidup dengan ketenangan, mengenali diri dan pencipta itu baik.
Namun, seorang anak muda yang sibuk bekerja tetap apabila azan dia bergegas pergi ke masjid untuk solat berjemaah, itu seribu kali lebih baik! 
Sabda Rasulullah SAW "Apabila kedengaran seruan azan, maka tinggalkanlah segala tugasanmu. Bergeraklah dengan segera untuk menunaikan solat berjemaah, dan sesudah melaksanakan ibadah segeralah kamu berteraburan di bumi Allah yang luas ini untuk mencari rezeki". "Beribadahlah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah esok kamu akan mati dan berkejalah bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi".


Saya dah tua. Tak muda lagi macam awak shiekh! tapi saya tak nak bersenang lenang dirumah. Saya nak mengejar pahala yang lebih banyak. Dari duduk menunggu mati lebih baik saya berpura-pura yang saya tak akan mati. Selagi masih ada upaya dan nisahat tubauh badan. Anak janganlah kita susah-susahkan. Walaupun bergaji besar, namun masih banyak tanggungan yang perlu mereka hadapi.

Dikala ini aku hanya berdiam diri sambil mengangguk-anggukkan kepala ( itu je yang aku tau buat).

(I) : Shiekh...Allah maha penyayang. Diberikan usia muda dengan masa yang hampir tidak mencukupi, tetapi dengan kasih sayangNya diberikan kelebihan pahala yang sangat besar. Kemudian apabila tua, diberikannya masa terluang yang panjang agar kita dapat mentaatinya dan menginsafi dosa-dosa kita yang lalu. Sayang bagi orang tua yang lalai dalam menggunakan masa. Masa lapang yang banyak itu dibazirkan dengan aktiviti yang sia-sia.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ashr yang bermaksud "Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaram."

(A) : Jadi, saya memperoleh kelebihan pahala yang besarlah imam?
(I) : Ya! Sangat beruntung jika mendapat kesedaran pada usia muda. Awak kena belajar, bekerja dan beribadah pada satu masa. Ruang jihad yang sangat luas. Jangan dibazirkan peluang dan masa. Ingat, kesudahan yang baik bagi orang yang bertakwa.

(A) : Baik Imam, saya akan ingat nasihat imam.
(I) : Ok..saya nak balik dulu, orang rumah ajak jalan-jalan pergi Pantai Air Papan.
(A) : Peh...romantik gila.
(I) : Siapa yang tak sayang bini? Assalamualaikum..
(A) : Waalaikumsalam..


TO BE CONTINUE...

Pengajaran dan kesimpulan dari kisah ini:
1. Ibu bapa kita menyayangi kita tanpa sebarang syarat dan kompromi. Mereka ikhlas bersusah payah demi kita, anak-anaknya. Tidak langsung mengharapankan balsan dan kemewahan. pada mereka cukup dengan ingatan dan ziarah.
2. Kelebihan bagi orang muda walau sibuk dengan tugasan harian, diberikan ganjaran pahala yang besar.
3. Masa perlu digunakan dengan baik.
4. Walau meniti usia emas, buah hati kita tetap kita sayangi. Isteri kita rusuk kita, penyejuk hati dan penyaman mata. Sebenarnya banyak lagi yang boleh dikupas. Terpulang bagi diri kita sendiri untuk mentafsirkannya.

"Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan ampunilah dosa-dosa kedua-dua ibubapaku. Kau kasihanilah mereka, sayangilah mereka, peliharalah mereka, sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangiku semenjak aku masih kecil.."

-TAMAT SIRI 1-

and The Red go MARCHING on on on...

Tak guna berbicara panjang lebar. Tak guna menafikan hak. Tak guna menegakkan benang yang basah.. Juara di atas landasan sebenar. terimalah hakikat dan telanlah kepahitan. TAHNIAH MAN UTD!!!

MAN UTD 3 - 1 CHELSEA
SPURS 4 - 0 LIVERPOOL
BLACKBURN ROVERS 4 - 3 ARSENAL
MAN CITY 2 -2 FULHAM


Thursday, September 15, 2011

I Love Man United!!!

Peminat-peminat Man United dirumahku..

MANCHESTER UNITED FOOTBALL CLUB atau MUFC dan lebih dikenali sebagai Man Utd adalah sebuah pasukan bola sepak yang terkemuka didunia. Memiliki jutaan peminat diseluruh dunia. Mereka telah memenangi pelbagai kejuaraan, anugerah dan kejayaan disetiap peringkat profesional baik untuk pasukan mahupun individu. Mempunyai sejarah yang unik dan lagenda-lagenda pemain serta pengurus yang hebat.

Namun bukan tentang Man Utd yang ingin aku bicarakan disini, tetapi tentang ketaksubanku dalam menikmati permainan hebat pasukan ini. Man Utd sering membuat aku tersenyum. 19 kali kejuaraannya di dalam Liga Perdana Inggeris cukup untuk aku berani dan bebas mentertawakan teman-temanku yang meminati kelab-kelab bola sepak seterunya. Aku puas bila dapat  menewaskan penyokong lawan (LIVERPOOL terutamanya).

Permulaan cemerlang musim terbaru ini (2011/2012) dengan 100% kemenangan dan telah membelasah pasukan besar seperti arsenal dgn gol 8-2 (padan muka kau Dayat!!), ditambahkan dengan jaringan hatrik dua kali berturut-turut dalam dua perlawanan dari pemain bintang Wayne Rooney telah membuktikan yang Man Utd di landasan yang betul dalam mempertahankan kejuaraan. Namun aku sentiasa beringat yang langit tidak selalu cerah. Kekalahan dia tangan liverpool musim lalu masih terkesan. Walau kekalahan itu tidak menggugat kejuaraan Man Utd, namun senyuman sinis tanpa sebarang komen dari sahabat baikku Shaiful Salim dan isterinya Norain Salehan (peminat tegar Liverpool), senyuman sinis itu cukup kuat untuk mengganggu tidur malamku.

Harapanku pada musim ini, BARCELONA KITA TUNDUKKAN!! LIVERPOOL KITA PIJAK-PIJAK DAN SEPAK-SEPAKKAN!!! BPL KITA TAKLUKI SEKALI LAGI!!! FINAL DI MUNICH DALAM LIGA JUARA-JUARA EROPAH KITA PEROLEHI!!! Buat teman-teman penyokong Man Utd (Mohd Saharizan, Mohd Fahmi, Mohd Farid, Suhaili Azlan), anda amat aku sukai, hormati dan kasihi. Buat teman-teman seteru dari pasukan yang lain terutamanya penyokong Liverpool (Shaiful, Norain, Zul) dan Arsenal (Wan Herdayat, Norsarika) terima kasih kerana menjadi lawan yang berkualiti dan bermaruah. Anda semua tidak pernah bosan menyokong dan menonton walaupun KALAH!!! Gua respek lu orang seme!!!

GLORY GLORY MAN UNITED!!


Bismillah..


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..

Saya ingin berkongsi bahan bacaan dari kitab yang telah saya baca. Kitab yang bertajuk 'PATI RAHSIA' susunan Haji Nik Muhammad Bin Ismail dan dicetak dengan keizinan Nik Ahmad Kamil Bin Mahmud.

SANYA Allah SWT ada mempunyai 3000 nama iaitu:-
1. Sebanyak 1000 nama- Allah SWT memberi ketahui kepada malaikat-malaikat sahaja.
2. Sebanyak 1000 nama- Allah SWT memberi ketahui kepada nabi-nabi sahaja.
3. Sebanyak 300 nama- ada tersebut di dalam Al-Taurat.
4. Sebanyak 300 nama- ada tersebut di dalam Al-Injil.
5. Sebanyak 300 nama- ada tersebut di dalam Al-Zabur.
6. Sebanyak 99 nama- ada tersebut di dalam Al-Quran.
Dan satu nama KHAS tersimpan di dalam pengetahuan Allah SWT.


Sekalian makna nama-nama Allah SWT yang 3000 itu ada terkandungan di dalam ayat Bismillahhirrahmanirrahim dan jika sesiapa membaca Bismillahirrahmannirrahim nescaya dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya akan balasan pahala yang dikurniakan kepada orang yang membaca sekalian nama Allah SWT yang 3000 itu.



Wednesday, September 14, 2011

Percubaan pertama..

Assalamualaikum...

 Wah...percaya atau tidak, cubaan aku untuk menulis setelah sekian lama hanya membaca dan menjadi permerhati. Adakah aku berkeupayaan menulis tentang diri dan pendapat? Entahlah...yang penting hari ini aku dah memiliki sebuah blog. pengisiannya perlahan-lahan akan aku perbaiki. Bagi sesiapa yang membaca berikan nasihat dan komen yang membina ye.