Friday, September 23, 2011

Surat buat bakal isteriku...

                                                                                        23 septermber 2010

Kehadapan bakal isteriku yang tercinta,

Aku mengharapkan surat ini dapat mengelakkan dirimu dari terus-terusan diulit mimpi yang syahdu. Aku khuatiri seandainya dirimu terlalu mabuk dengan cintaku sehingga melayang ke syurga nun jauh disana. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan dilangit, biar gegar dilantai bumi, lautan api sanggup dikau renangi. Aku pasti itulah kuasa cintamu padaku! Pengorbanan yang akan dikau tawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia. Berehatlah seketika wahai kasihku, ini demi kebaikanmu.

Sayangku,
Tiada insan yang sengaja mencari derita seperti ikan mencari air, sidahaga mendambakan seteguk minuman, atau mata mengantuk mencari bantal. Demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Kekasihku,
Marilah bersamaku, berehat sebentar, beristighfar, memahami dan berusaha untuk menjawab beberapa persoalan realiti yang sering bermain difikiranku. Sebelum kita terus menerus dibius cinta, sebelum janji ditabur menyulam kata, sebelum ikatan disahkan agama, apa salah kiranya kamu memberikan bagi persoalanku.

Wahai bakal isteriku,
Setelah kita berumahtangga, pelbagai perkara bakal menjelma. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah dikau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?

Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita dihatimu?

Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh daripada mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana 'menanggung' aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah dikau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?

Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu meceriakan aku, namun sabarkah dikau denganku? Mampukah cinta kita dihatimu terus membenih bahagia?

Jika kerjayaku berkembang diluar jangkaan kita, dikau terpaksa berkongsi diriku dengan masa dan aku terpaksa selalu ke sana sini untuk bekerja, sabarkah dikau dengan susana itu, dan apakah aku masih cinta hatimu?

Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumah tangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah dikau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumah tangga kita?

Sekiranya rumah tangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini didalam kain pelekat yang pernah dikau hadiahkan kepadaku, apakah ia akan menggugat cinta kita? Mampukah dikau terus hidup disisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Cintaku,
"....Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya". (Al-Baqarah 2:286). Kita perlu menyedari bahawa kehidupan berumah tangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh daripada realiti alam nyata. Mari kita pastikan langkah kaki kita tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir diminda.Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya.

Marilah kita berjuang berbekalkan takwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia. Marilah kita berjuang sampai mengecap bahagia perjuangan. Kejayaan bukanlah sebuah destinasi, tetapi ia adalah sebuah perjalanan.

"Aku amat mencintaimu..:.

                                                                                        Bakal Suamimu:
                                                                                       Firdaus Bentris




*Karya asal : Firdaus Bentris
*Bahan rujukan : AKU TERIMA NIKAHNYA, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.












9 comments:

  1. aku salah letak tahunnnnnnnnnnn...arghhhhh. nasib la.

    ReplyDelete
  2. begitu besarnya cabaran dan seorang isteri...diharap pikullah segala amanah yang diberikan dengan penuh rasa syukur dan sabar...

    ReplyDelete
  3. "Kesetiaan seorg isteri dinilai & diuji bila suaminya kesusahan & kesempitan. Kesetiaan seorang suami dinilai & diuji bila dirinya dalam kesenangan & kegemilangan"

    ReplyDelete
  4. tidak...mysoulz, sebenarnya sy sudah menyediakan surat balasan dr seorang gadis kepada bakal suaminya. jika ada masa, anda nantikan tajuk "surat dari bakal isteriku!"

    ReplyDelete
  5. aussss......aduhai x sangka odah...

    ReplyDelete
  6. Terharunye... Don't worry,sidia akn dtg jua akhirnye...

    ReplyDelete
  7. InshaAllah si dia akan hadir dalam kehidupanmu...

    ReplyDelete